Friday, July 13, 2012

selamat datang bulan yang mulia.....RAMADHAN

KERINDUAN TAK BERTEPI KEHADIRANMU DINANTI



Info Ramadan

Ramadan yang mulia bakal menemui kita. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar kita dipanjangkan umur untuk hidup di dalam bulan Ramadan. Seterusnya diberikan hidayah dan taufiq serta daya kekuatan agar dapat mengambil manfaat dari kebaikan-kebaikan yang telah Allah SWT sediakan pada bulan ini. Tidak dinafikan bahawa golongan yang bersungguh-sungguh mengejar Taqwa untuk dijadikan bekal bertemu dengan Allah SWT pada hari akhirat nanti sangat rindu menanti-nantikan kehadiran bulan yang mulia ini iaitu Ramadan Mubarak. Marilah kita contohi mereka dalam mengejar kebaikan. Berikut disenaraikan kalam Allah SWT dan lisan Rasulullah SAW agar dapat kita meneliti dan menghayati sepenuhnya akan kelebihan bulan Ramadan yang bakal kita hadapi beberapa hari lagi, insya Allah.

1. Puasa adalah ibadah fardu yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, dengan tujuan agar memperolehi Taqwa. Allah SWT telah jelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”

2. Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH SWT dan hanya ALLAH SWT sendiri yang akan mengganjarinya. Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukan ibadah puasa ini. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi Allah SWT lebih harum dari bau minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa”
(HR Bukhari & Muslim)

3. Ibadah puasa pada bulan Ramadan boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang pernah kita lakukan pada masa lampau. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
(HR Bukhari & Muslim)

4. Pada bulan Ramadan, sekalian manusia mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan dan menggandakan kebaikan-kebaikan itu. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila bulan Ramadan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka, serta diikat syaitan-syaitan.”
(HR Bukhari & Muslim)
Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada kalam-kalam yang mulia di atas. Semoga ia dapat membuka minda dan roh kita untuk sama-sama mengejar kebaikan-kebaikan yang terdapat di dalam bulan Ramadan, insya Allah.

IHSAN SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM BPK